Wanita itu menangis. Walau wajahnya terlindung di sebalik purdah, dan hanya menampakkan sepasang matanya yang bening, tetapi suaranya yang sayu dan sebak beserta linangan airmata yang tumpah menggambarkan segala rasa yang menggigit tangkai jiwanya.
Begitulah keadaannya apabila persoalan mengenai Rasulullah dilemparkan kepada insan yang benar-benar cinta akan baginda SAW. Kolam air mata mana yang mampu menampung limpahannya, jika persoalan yang bermain di kepala membuak kesayuan yang tiada taranya.
Persoalan yang sukar dijawab tetapi juga adalah impian setiap muslim dan muslimah yang beriman. Setiap orang daripada kita jika diberi peluang untuk bersama-sama dengan baginda SAW, pastinya tiada seorang pun yang akan melepaskan peluang itu. Namun, sekiranya baginda SAW melihat keadaan kita sekarang, apa yang nak kita diperkatakan? Fikirkan...
Andai benar Rasulullah SAW bersama kita, adakah baginda akan tersenyum senang melihat keadaan kita saat ini...
Atau….
Adakah baginda hanya mendiamkan diri dengan wajah diselubungi duka, lantas berpaling dan berlalu pergi meninggalkan kita…
Jika benar kita menyintai Nabi SAW, mari kita buktikan bahawa rasa cinta kepada baginda SAW adalah cinta yang bukan didahului hawa nafsu. Akan tetapi, ia demi mentaati perintah agama beriring keyakinan bahawa rasa cinta kepada baginda ini akan membuahkan cinta kepada Yang Maha Esa sebagaimana firman-NYA yang bermaksud :
“Katakanlah ( wahai Muhammad), ‘Jika kamu (benar-benar) menyintai ALLAH, ikutilah aku, nescaya ALLAH menyintaimu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." ( Surah Ali ‘Imran ayat 31 )
Menyintai dan mengasihi baginda SAW mampu menjadi asbab untuk meraih hidayah dan petunjuk-NYA. Mengasihinya juga boleh menyelamatkan kita dari azab api neraka, dengan izin-NYA.
Benarlah, baginda merupakan rahmat terbesar yang dikurniakan ALLAH SWT kepada alam semesta. Firman ALLAH SWT yang bermaksud :
“Dan tidaklah kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat untuk sekelian alam.” ( Surah Al-Anbiya ayat 107 )
No comments:
Post a Comment