Ada terdapat hadis-hadis yang kelihatan aneh, pelik atau bertentangan dengan ukuran akal dan norma-norma agama. Akal yang dimaksudkan di sini ialah fikiran logik manusia biasa sementara norma-norma agama adalah ajaran dasar dan umum agama Islam. Hadis-hadis dalam kategori ini dapat dibahagikan kepada beberapa jenis mengikut cara ia difahami.
Sebenarnya tujuan MHZ post artikel mengenai hadis ini adalah semata2 untuk berkongsi kerana ada yang masih ragu2 dan mempersoalkan sama ada hadis tersebut betul atau tidak. Antara bnyak2, MHZ pilih hadis mengenai ucapan La ilaha illallah. untuk lebih jelas, bolehlah ke laman rasmi sumber ini...MHZ cuma share dari laman tersebut, sebarang kesilapan minta dimaklumkan segera...Wallahualam
Sesiapa akhir ucapannya La ilaha illaLlah akan masuk syurga
Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:
Barangsiapa akhir perkataannya adalah “La ilaha illaLlah” dia masuk syurga.[1]
Kemusykilan:
Adalah sukar untuk diterima bahawa semata-mata dengan ucapan “La ilaha illalLah” seseorang itu akan masuk syurga. Bukankah di sebalik ucapan tersebut ia wajib diikuti dengan hati yang menetapkannya, lisan yang membenarkannya dan perbuatan yang membuktikannya ? Bagaimana dengan seseorang yang mengucapkan kalimah tersebut tetapi dia mengingkari kewajipan solat, puasa dan pelbagai lagi hukum syari‘at ?
Penjelasannya:
Hadis di atas sebenarnya disabdakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam di zaman awal Islam di Kota Makkah. Berkata Ibn Syihab al-Zuhri (124H), seorang tokoh generasi tabi‘ien: Hadis sebegini hanya pada permulaan Islam sebelum turunnya kewajipan-kewajipan dan larangan.[2] Yakni di zaman permulaan Islam di mana belum disyari‘atkan pelbagai ibadah, kewajipan, larangan dan hukuman kecuali sekadar mentauhidkan Allah ‘Azza wa Jalla dan meninggalkan segala amalan syirik yang mereka praktikkan sebelum itu. Pada waktu itu mereka yang baru memeluk Islam diugut dan dipaksa agar meninggalkan Islam dan sesiapa yang enggan – mereka diseksa hingga ke tahap dibunuh dengan kejam. Ketika sedang diugut, diseksa dan sesaat sebelum dibunuh, tiada yang diucapkan oleh mereka kecuali “La ilaha illaLlah” – Tiada Tuhan selain Allah – secara berulang-ulang sehinggalah mereka dibebaskan atau sehingga maut menemui mereka.
Terhadap umat Islam inilah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam bersabda: Barangsiapa yang akhir perkataannya adalah “La ilaha illaLlah” maka dia masuk syurga dan memang benar bagi mereka adalah ganjaran syurga kerana menegakkan ketauhidan Allah ‘Azza wa Jalla sehingga ke akhir hayat mereka. Senada dengan hadis ini adalah firman Allah Subhanahu waTa’ala dalam ayat berikut yang juga diturunkan di Kota Makkah:
Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atasnya, maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Merekalah ahli Syurga, tetap kekal mereka di dalamnya, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan. [al-Ahqaf 46:13-14]
Adapun kedudukan hadis ini pada masa kini, maka berkata para ilmuan bahawa ia tetap sah diperlakukan. Sesiapa sahaja yang mentauhidkan Allah Subhanahu waTa’ala secara yakin dan benar sehingga ke akhir hayatnya, syurgalah balasannya. Mentauhidkan Allah bukanlah sekadar perkataan tetapi adalah disertai hati yang menetapkannya, lisan yang membenarkannya dan perbuatan yang membuktikannya. Seandainya ada dosa-dosa besar, maka mereka akan diazab setimpal dengan kadar dosa masing-masing dan akhirnya tetap akan dimasukkan ke dalam syurga oleh Allah Tabaraka waTa’ala.[3]
[1] Sahih: Hadis dari Muadz bin Jabal radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Bazzar, al-Thabarani (al-Mu’jam al-Kabir), al-Baihaqi (Syu‘abu al-Iman) dan al-Hakim, dinukil dan dinilai sahih oleh al-Suyuti dalam al-Jamii’ al-Sagheir – no: 8965 dan dipersetujui sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih al-Jamii’ al-Sagheir – no: 6479.
[2] -----: Dikeluarkan oleh Muhammad bin Isa al-Tirmizi dalam Sunan al-Tirmizi, jld 4, ms 449 tanpa isnad. Saya berkata isnad athar ini telah diisyaratkan kedha‘ifan atau ketidak pastiannya memandangkan al-Tirmizi telah mendahuluinya dengan kata-kata: Dan sesungguhnya diriwayatkan dari al-Zuhri.... Qadi Iyadh dalam Ikmal al-Mu’lim bi-Fawa’idi Muslim (Dar al-Wafa’, Kaherah 1998), jld 1, ms 254 berkata bahawa ini adalah juga merupakan pendapat majoriti generasi salaf (yakni mereka yang hidup sebelum tahun 300H), di antaranya ialah Sa‘id ibn Musayab (94H), namun Qadi Iyadh juga tidak mengemukakan isnadnya. Oleh itu status riwayat ini penulis biarkan terbuka sehingga dapat ditemui isnadnya. Perbandingkan juga dengan Syarah Sahih Muslim al-Nawawi (Dar Ihia al-Turath al-Arabi, Beirut 2000), jld 1, ms 63.
[3] al-Tirmizi – Sunan al-Tirmizi, jld 4, ms 449. Antara sumber bacaan yang disyorkan dalam bab ini ialah buku Muhammad bin ‘Abdul Aziz al-Sulaimani yang berjudul Cara Mudah Memahami Tauhid (terj: Abu Ihsan al-Maidani; Pustaka al-Tibyan, Solo 2000).
Untuk lebih lanjut, sila ke Laman rasmi sumber ini
No comments:
Post a Comment